Kenalan

Jumaat, Februari 05, 2010

Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas

Tokoh Ulama : Suatu Pencarian.. Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas

TIDAK dapat dinafikan bahawa yang mewarnai corak keIslaman di Terengganu mulai peringkat awal hingga abad ke-20, terdiri daripada dua golongan ulama atau penyebar Islam. Golongan itu ialah, pertama: Berasal daripada ulama-ulama Patani, dan kedua: Daripada keturunan Rasulullah s.a.w. atau golongan `sayid'. Di antara ulama yang paling besar pengaruhnya di Terengganu ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani atau Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Terengganu.



Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim mendapat pendidikan asas di beberapa pondok pengajian di Patani. Walaupun ditinjau dari segi pangkat, nasab beliau adalah peringkat datuk saudara kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, namun ditinjau dari segi umur pula Abdul Qadir lebih muda daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Menurut riwayat, Abdul Qadir dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah sama-sama belajar dalam sebuah pondok, sama ada di pondok Kuala Bekah (Patani) mahu pun di pondok-pondok lainnya. Bahkan pernah sama-sama belajar di Mekah.

Dalam riwayat yang lain pula menyebut bahawa Syeikh Abdul Qadir pernah belajar kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jadi beliau termasuk peringkat murid kepada Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Ketika beliau melanjutkan pelajaran ke Mekah, beliau berguru kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaludin Aceh. Kepada ulama-ulama Arab pula beliau belajar di antaranya kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim, Mufti Syafi'ie di Mekah, Syeikh Ahmad al-Marzuqi dan lain-lain

Setelah memperoleh ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang di Mekah dan Madinah, beliau turun ke Jawi. Pertama kali ke sana beliau tidak langsung ke negeri asalnya Patani, tetapi beliau ke Pulau Duyung, Terengganu. Langkah itu diambilnya kerana di Pulau Duyung Kecil, Terengganu itu ahli keluarganya lebih ramai dan lebih dekat daripada di Patani sendiri. Di Pulau Duyung Kecil, Terengganu beliau memulakan aktivitinya sebagai seorang ulama.

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas, Terengganu wafat dalam tahun 1864 M di Kampung Paya Bunga, Terengganu. Riwayat lain menyebut beliau wafat di Bukit Bayas, Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan