Kenalan

Rabu, Oktober 05, 2011

Dinasti al-Kamil Temir Kerajaan Islam Terengganu yang pertama

Syarif Muhammad al-Baghdadi adalah seorang tokoh yang sangat penting dalam penyebaran Islam di Alam Melayu yang berketurunan Saidina Hassan daripada sebelah bapanya dan Saidina Hussain daripada sebelah ibunya. Dikatakan bahawa Syarif Muhammad meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Makkah al-Mukarramah. Setelah sekian lama berada di Makkah, beliau berangkat menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan seterusnya ke Nusantara.

Beliau telah memilih  Hulu Terengganu sebagai tempat untuk berdakwah. Di Hulu Terengganu, beliau menjalankan kerja-kerja dakwah Islam dengan gigih kepada masyarakat dan telah mendirikan sebuah kerajaan Islam Dinasti al-Kamil. Pemerintah kerajaan Islam Pasai iaitu Sultan al-Malikul Salleh bersama dengan seorang wali Allah bernama Syeikh Ismail (makamnya di Pulau Besar, Melaka) dikatakan pernah menghadap seorang khalifah dari Dinasti al-Kamil ini pada tahun 1290M. Kemungkinan besar Khalifah yang dimaksudkan olah Syarif Muhammad al-Baghdadi.

Ini menunjukkan Islam telah sampai ke Terengganu dan terbinanya kerajaan Islam Terengganu sebelum 1300M.  Kerajaan Dinasti al-Kamil ini dikatakan menaungi kerajaan Islam lain seperti kerajaan Cirebon, Banten, Mataram dan Pagar Ruyung. Seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan Kota Temir yang terletak di kawasan seluas 300 ekar.

Ramai dalam kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu telah memeluk Islam hasil dakwah Baginda lalu menjadi pengikut setia kepadanya.  Kesinambungan pemerintahan dan perjuangan Syarif Muhammad al-Baghdadi kemudiannya diteruskan oleh zuriat keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad, kemudian cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh) dan seterusnya cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik lebih dikenali dengan gelaran Tok Ku Pulau Manis. Kesemua zuriat keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi yang dikatakan sebagai wali Allah dan dimuliakan Allah dengan diberikan pelbagai karamah.

Di antara warisnya yang paling menonjol ialah cicitnya iaitu Tok Ku Pulau Manis. Tok Pulau Manis diriwayatkan pernah menubuhkan ‘Kota Pulau Manis’ dan mendirikan institusi pendidikan agama yang sangat terkenal di Alam Melayu pada ketika itu. Anak Tok Pulau Manis yang bernama Siti Zubaidah dikatakan telah berkahwin dengan Tun Jenal yang kemudiannya ditabalkan menjadi raja di Tanjung Baru, Hulu Terengganu dan bergelar Sultan Zainal Abidin 1.

\

Tiada ulasan:

Catat Ulasan