SULTAN ZAINAL ABIDIN III : Umara bertaraf ulama.
SULTAN Zainal Abidin III, Sultan Terengganu, diakui oleh beberapa orang ulama Mekah dan para cerdik cendekiawan bahawa baginda adalah di antara Sultan Melayu yang paling alim dan ahlil ilmi pada zamannya. Dua ulama yang berasal dari dunia Melayu di Mekah yang paling dekat dan menjadi rujukan pelbagai masalah baginda, ialah Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (Syeikh Nik Mat Kecik) dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Sesuatu permasalahan yang sukar diselesaikan oleh Sultan Zainal Abidin III akan sentiasa dirujuk kepada kedua-dua ulama di Mekah itu. Kadang-kadang dengan cara mengirim surat atau adakalanya mengirim utusan yang khusus. Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani datang ke Kota Bharu, Kelantan, Sultan Zainal Abidin III berserta beberapa pembesar Terengganu datang menjemput beliau supaya sudi mengunjungi Kuala Terengganu.
Syeikh Ahmad al-Fathani telah menggubah puisi 33 bait dalam bahasa Arab yang bercorak memuji Sultan Zainal Abidin III yang diiringi dengan pengharapan agar baginda memperkukuh kedudukan agama Islam, bahasa dan bangsa Melayu, diiringi pula sejarah bangsa Melayu yang lengkap. Sultan Zainal Abidin III yang dibicarakan ini lahir pada 1281 H/1865 M dan mangkat hari Selasa, 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan