Kenalan

Rabu, Oktober 05, 2011

Dinasti al-Kamil Temir Kerajaan Islam Terengganu yang pertama

Syarif Muhammad al-Baghdadi adalah seorang tokoh yang sangat penting dalam penyebaran Islam di Alam Melayu yang berketurunan Saidina Hassan daripada sebelah bapanya dan Saidina Hussain daripada sebelah ibunya. Dikatakan bahawa Syarif Muhammad meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Makkah al-Mukarramah. Setelah sekian lama berada di Makkah, beliau berangkat menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan seterusnya ke Nusantara.

Beliau telah memilih  Hulu Terengganu sebagai tempat untuk berdakwah. Di Hulu Terengganu, beliau menjalankan kerja-kerja dakwah Islam dengan gigih kepada masyarakat dan telah mendirikan sebuah kerajaan Islam Dinasti al-Kamil. Pemerintah kerajaan Islam Pasai iaitu Sultan al-Malikul Salleh bersama dengan seorang wali Allah bernama Syeikh Ismail (makamnya di Pulau Besar, Melaka) dikatakan pernah menghadap seorang khalifah dari Dinasti al-Kamil ini pada tahun 1290M. Kemungkinan besar Khalifah yang dimaksudkan olah Syarif Muhammad al-Baghdadi.

Ini menunjukkan Islam telah sampai ke Terengganu dan terbinanya kerajaan Islam Terengganu sebelum 1300M.  Kerajaan Dinasti al-Kamil ini dikatakan menaungi kerajaan Islam lain seperti kerajaan Cirebon, Banten, Mataram dan Pagar Ruyung. Seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan Kota Temir yang terletak di kawasan seluas 300 ekar.

Ramai dalam kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu telah memeluk Islam hasil dakwah Baginda lalu menjadi pengikut setia kepadanya.  Kesinambungan pemerintahan dan perjuangan Syarif Muhammad al-Baghdadi kemudiannya diteruskan oleh zuriat keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad, kemudian cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh) dan seterusnya cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik lebih dikenali dengan gelaran Tok Ku Pulau Manis. Kesemua zuriat keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi yang dikatakan sebagai wali Allah dan dimuliakan Allah dengan diberikan pelbagai karamah.

Di antara warisnya yang paling menonjol ialah cicitnya iaitu Tok Ku Pulau Manis. Tok Pulau Manis diriwayatkan pernah menubuhkan ‘Kota Pulau Manis’ dan mendirikan institusi pendidikan agama yang sangat terkenal di Alam Melayu pada ketika itu. Anak Tok Pulau Manis yang bernama Siti Zubaidah dikatakan telah berkahwin dengan Tun Jenal yang kemudiannya ditabalkan menjadi raja di Tanjung Baru, Hulu Terengganu dan bergelar Sultan Zainal Abidin 1.

\

Selasa, Oktober 04, 2011

Tok Ku Melaka berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.

Nama sebenar Tok Ku Melaka ialah Sayyid Ahmad bin Mohammad al-Idrus. Beliau merupakan ulama besar dari Terengganu yang berasal daripada keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Salasilah keluarganya ialah Saiyid Ahmad bin Muhammad bin Husein bin Mushthafa bin Syaikh bin [Muhammad] Mushthafa bin Ali Zainal Abidin bin Abdullah bin Syaikh bin Abdullah al-Aidrus al-Akbar [bin Syeikh bin Abdullah] bin Abu Bakar as-Sakran bin Muhammad Abdur Rahman as-Saqaf bin Muhammad Maulana Dawilah bin Ali bin Alwi bin Muhammad al-Faqih al-Muqaddam bin Ali bin Muhammad Shahib Mirbath bin Ali Khali Qasam bin Alwi bin Muhammad bin Alawi bin Saiyid Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajir.  Tok Ku Melaka digelar juga dengan nama Tuan Saiyid Embun Tarqanu. Beliau wafat di Cabang Tiga, Kuala Terengganu pada 1315 H/1897 M.

Ayah Tok Ku Melaka bernama Saiyid Muhammad digelar dengan Tok Ku Tuan Pahang. Ayahnya bernama Saiyid Husein. Ayahnya bernama Saiyid Mushthafa, bererti moyang kepada Tok Ku Melaka yang diriwayatkan ini mempunyai adik-beradik tiga orang iaitu Saiyid Mushthafa bin Syaikh (moyang Tok Ku Melaka), Saiyid Ahmad bin Syaikh dan Saiyid Zainal Abidin bin Syaikh. Saiyid Ahmad bin Syaikh mempunyai anak bernama Saiyid Muhammad yang digelar dengan nama Tok Ku Makam Lama. Kuburnya di Cabang Tiga, Kuala Terengganu (tarikh 1209 H/1794 M). Saiyid Zainal Abidin bin Syaikh mempunyai anak bernama Saiyid Muhammad yang digelar dengan Tok Ku Tuan Besar. Tok Ku Makam Lama dan Tok Ku Tuan Besar bererti datuk saudara kepada Tok Ku Melaka. Saiyid Muhammad (Tok Ku Tuan Besar) memperoleh predikat sebagai ulama adalah berkat belajar kepada Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas. Tok Ku Tuan Besar adalah sebagai Ketua Ulama dan Orang-Orang Arab di Terengganu. Anak beliau yang terkenal menjadi ulama ialah Saiyid Abdur Rahman yang lebih dikenal dengan gelar Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M, wafat Zulhijjah 1335 H/September 1917 M). Bererti beliau ini masih ada pertalian kekeluargaan dekat dengan Tok Ku Melaka. Tok Ku Paloh pula kahwin dengan anak Tok Ku Melaka yang bernama Tuan Nik.

Dikatakan Tok Ku Melaka pernah tiga kali kahwin. Nama-nama isterinya ialah Saiyidah (Encik Sidah), Tuan Nik dan Tuan Batu. Nama anak-anaknya pula adalah sebagai yang berikut:
  1. Saiyid Hasan gelaran Tuan San. Anaknya bernama Saiyid Hasan gelarannya Tuan Sulung.
  2. Saiyid Umar gelaran Tuan Mutil. Beliau ini memperoleh lima anak iaitu Saiyid Muhammad gelarannya Tuan Dalam Engku Wok; Saiyid Abdullah gelarannya Tuan Cilin; Syarifah Sakinah gelarannya Tuan Kuning; Tuan Cik Cuking; dan Tuan Su Naflullah.
  3. Saiyid Abdullah gelaran Tuan Dolah. Beliau memperoleh tiga anak iaitu Syaikhah Tuan Dayang, Tuan Mutil dan Tuan Kuntum.
  4. Syarifah Maryam gelaran Tuan Ngayang. Beliau dikurniakan lima anak iaitu Saiyid Ahmad Tuan Nanum; Saiyid Muhammad Tuan Mutil; Tuan Sambul; Tuan Mukhtar; dan Saiyid Abdur Rahman.
  5. Saiyid Muhammad gelaran Tuan Kicut. Beliau ini memperoleh tiga anak iaitu Tuan Timun, Tuan Sifat dan Tuan Nat.

PENDIDIKAN

Beliau mendalami ilmu agama dengan Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas. Selain itu, Tok Ku Melaka juga belajar kepada ayahnya sendiri, Saiyid Muhammad al-Idrus yang juga merupakan  seorang ulama. Tok Ku Melaka ialah seorang yang sangat rajin dan teliti mencari ilmu pengetahuan Islam dan beliau telah mengembara mencari ilmu. 


PENULISAN 
  • Al-Fawaid fis Shalati wa 'Awaid wa Fat-hul Malikil Majid diselesaikan pada 20 Safar 1265 H/1848 M. Tok Ku Melaka telah menyerahkan karangannya itu kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani untuk disemak. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani bergiat mentashhih kitab-kitab di Makkah lalu Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani menyerahkannya pula kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini pernah dicetak beberapa kali oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah atas usaha Syeikh Ahmad al-Fathani.
  • Hidayatul 'Awam fi Bayan Hukmi Syarbid Dukhan. 
  • Terjemahan Muqaddimah Dan Do'a Dalail al-Khairat, diselesaikan waktu Dhuha, 1256 H/1840 M.
  • Taghribur Rijal fi Kasbil Halal. Menurut keterangan Saiyid Abdur Rahman di Kuala Terengganu (salah seorang keturunan Tok Ku Melaka) bahawa manuskrip kitab ini telah hilang daripada simpanan.
  • Ta'riful Khullan fi Tajwidil Quran, cetakan pertama tahun 1333 H/1915 M.
  • Tanbihul Ikhwan, kitab ini kemungkinan sama dengan yang pernah diterbitkan yang diberi judul lengkap Hidayatul Ikhwan fi Azkaris Shalati ma'a Arkan. Selesai penulisan pada hari Jumaat, 9 Safar 1283 H/1865 M. Pernah dicetak di Mekah dan Mesir. Cetakan Matba'ah at-Taqaddum al-'Ilmiyah, Mesir dan cetakan Matba'ah al-Miriyah, al-Kainah Mekah, 1311 H/1893 M.
  • Targib al-Ibadah fi Qiraah Ratib al-Haddad, masih dalam bentuk manuskrip, disebut oleh Dr. Adel Muhammad Abdulaziz dan Syed Ahmad Tarmizi Syed Omar dalam kertas kerja Nadwah Ulama Nusantara III pada April 2006.
  • Tanbih al-Ghafilin Bayan Syai-in min Fadhail Aali Saiyid al-Mursalin, masih dalam bentuk manuskrip, disebut oleh Dr. Adel Muhammad Abdulaziz dan Syed Ahmad Tarmizi Syed Omar dalam kertas kerja Nadwah Ulama Nusantara III. 

  • Mujarrabat al-Fawaid, masih dalam bentuk manuskrip.

  • Fauz as-Sa'adah, disebut oleh Dr. Adel Muhammad Abdulaziz dan Syed Ahmad Tarmizi Syed Omar dalam kertas kerja Nadwah Ulama Nusantara III.

  • Kumpulan Wirid Dan Do'a, diselesaikan pada 28 Safar 1295H/1878M.